Menabung 10% dari gaji Anda

Pelan tabungan adalah penting dalam perancangan kewangan. Tanpa pelan ini, anda mungkin tidak dapat mencapai matlamat kewangan anda.

Dari petikan artikel yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada 24 November 2012 disarankan anda menabung 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan. Adalah lebih baik jika anda dapat menabung 20 hingga 30 peratus kerana ini meningkatkan lagi simpanan pada masa hadapan.saving money 10

Ingat, semakin banyak wang ditabung sekarang, semakin mudah untuk mencapai matlamat kewangan anda. Ada beberapa cara menabung peratusan pendapatan bulanan terbabit terus ke dalam akaun simpanan anda:
• tulis cek dan masukkan ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan;
• buat pemindahan wang melalui ATM;
• pindahkan wang dari akaun semasa ke dalam akaun simpanan anda melalui perbankan internet setiap bulan.

Adalah bagus sekiranya anda dapat melakukan salah satu daripada perkara yang dinyatakan itu. Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, anda mungkin terlupa untuk berbuat demikian atau ada alasan untuk membelanjakan wang terbabit daripada menyimpannya di dalam akaun simpanan anda.

Tabiat menabung anda akan terjejas dan sekiranya ini berlaku, mungkin sukar meneruskan pelan berkenaan. Jadi, bagaimana untuk memastikan anda mengikuti pelan tabungan ini? Mudah saja, adakan tabungan secara automatik.

Beri arahan kepada bank untuk memindahkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bulanan daripada akaun semasa ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan.

Buatkan pemindahan terbabit sebaik saja gaji di masukkan ke dalam akaun semasa anda. Apa yang tidak dapat dilihat atau apa yang tidak ada, anda tidak akan rasa kehilangannya.

Pada masa yang sama, wang dalam akaun simpanan akan bertambah, akan membawa anda lebih hampir untuk mencapai matlamat kewangan. Jika kemampuan serta pendapatan anda bertambah hasil kenaikan gaji atau pangkat, beri arahan kepada bank untuk menambahkan jumlah yang dipindahkan ke akaun simpanan anda.

Apabila anda berjaya menyimpan jumlah wang yang dikehendaki, pindahkan wang tersebut ke simpanan tetap atau lain-lain simpanan yang memberi lebih pulangan.

Bagaimanapun, teruskan pemindahan wang setiap bulan ke dalam akaun simpanan dan jangan berhenti kerana ini mungkin akan menjejaskan tabiat menabung anda. Wang yang anda tabung secara automatik ini boleh digunakan untuk mencapai matlamat kewangan yang lain.

Persoalan dalam pelaburan dan tabungan
Apabila anda menabung secara berterusan, anda perlu membuat keputusan penting tentang cara melaburkan wang anda. Bagaimana hendak berbuat demikian?

Mudah saja. Langkah pertama untuk melabur secara berhemat adalah dengan menetapkan matlamat pelaburan anda. Bagaimana menetapkan matlamat pelaburan yang sesuai dengan keperluan anda? Terdapat pelbagai soalan penting yang perlu difikirkan sebelum keputusan pelaburan dibuat. Mari kita kaji soalan di bawah:
• Apakah matlamat kewangan anda? Kenapa perlu menyimpan dan melaburkan wang?
• Berapa jumlah wang yang perlu disimpan dan dilaburkan untuk mencapai matlamat anda?
• Berapa lama wang perlu disimpan atau dilaburkan?
• Berapa banyak risiko yang sanggup ditanggung?
• Berapa banyak pulangan yang dijangkakan daripada simpanan dan pelaburan?
• Apakah yang sanggup dikorbankan demi mencapai matlamat ini? Contohnya, menukar gaya hidup atau tabiat perbelanjaan yang sedia ada.

Anda hendaklah bersikap realistik apabila menjawab soalan di atas. Ambil kira sumber pendapatan anda dan fikir bagaimana boleh menyimpan dan melabur secara konsisten.

Matlamat kewangan dan pelaburan anda seharusnya munasabah dan boleh dicapai.

source

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *